MELAKA: Seorang warden penjara berpangkat sarjan maut dalam satu kemalangan apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori simen di persimpangan lampu isyarat di Sungai Udang, di Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA), petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, memaklumkan bahawa kejadian berlaku sekitar jam 5.50 petang, melibatkan mangsa dikenali sebagai Sarjan Amal Nurlidar Ghazali, 42 tahun, yang bertugas di Penjara Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh.
Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kaki, anggota badan dan muka.
“Siasatan awal mendapati lori simen terbabit yang sedang dalam perjalanan dari Bukit Rambai ke Masjid Tanah dipercayai mengalami masalah brek sehingga menyebabkan pelanggaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Post a Comment