SEPANG, 21 Mei 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki berusia 59 tahun yang memandu Perodua Axia berwarna merah selepas tular video berdurasi 13 saat memaparkan kenderaan itu membawa muatan berlebihan sehingga menyebabkan barangan bertaburan atas jalan raya di Jalan Dengkil-Banting.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, berkata tindakan segera diambil selepas video berkenaan dimuat naik oleh pengguna laman Facebook ‘Sepang Viral’.
“Kereta Perodua Axia itu telah dikesan dan ditahan mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan pemeriksaan serta tindakan lanjut,” katanya.
Menurut Norhizam, siasatan awal mendapati pemandu berkenaan pernah terlibat dalam kemalangan beberapa tahun lalu dan mengalami kecederaan di kepala. Susulan insiden tersebut, lelaki terbabit dipercayai mengalami masalah kesihatan mental.
Bagaimanapun, pemandu mempunyai lesen memandu yang sah dan kenderaan tersebut mempunyai dokumen perjalanan lengkap, jelas beliau.
PDRM sedang menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan insiden ini dan menyeru orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Kami mohon kerjasama semua pihak agar memberi ruang kepada siasatan berjalan dengan telus dan profesional,” tambah Norhizam.
Post a Comment