JOHOR BAHRU, 21 Mei 2025 – Sebuah bas milik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terbakar dalam satu kejadian di perhentian bas Jalan Lingkaran Ilmu, berhadapan Blok P19a, Fakulti Kejuruteraan Elektrik pagi tadi. Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan pelajar atau kakitangan universiti.
Menurut kenyataan rasmi UTM, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi, dan pasukan bomba tiba dengan pantas untuk memadamkan kebakaran yang berlaku.
“UTM memandang serius kejadian ini dan sentiasa komited untuk memastikan tahap keselamatan tertinggi di seluruh kampus. Siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan meneliti langkah-langkah penambahbaikan,” menurut kenyataan itu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I Kamarulzaman Salleh, memaklumkan bahawa ketika kejadian berlaku, bas sedang bergerak dan membawa enam penuntut.
“Pemandu terdengar bunyi letupan dari bahagian belakang kanan kenderaan sebelum mendapati tayar belakang sebelah kanan terbakar,” katanya.
Pemandu berusaha memadamkan api menggunakan alat pemadam api, namun tidak berjaya dan segera meminta bantuan pihak bomba. Pasukan bomba berjaya mengawal dan memadamkan api sepenuhnya, mengelakkan sebarang insiden lebih buruk.
UTM memberi jaminan bahawa pihak universiti akan mengambil langkah-langkah pencegahan dan pembaikan sewajarnya, termasuk pemeriksaan menyeluruh terhadap semua kenderaan universiti bagi menjamin keselamatan pelajar dan staf.
Post a Comment