Prince Syed Infak Telekung Bernilai RM12,000

 

Kuala Lumpur, 26 Mei 2025 – Tindakan pempengaruh dan usahawan tempatan, Prince Syed atau nama sebenarnya Syed Muhammad Shah Hasif, menginfak sepasang telekung eksklusif bernilai RM12,000 mendapat pujian ramai warganet.


Telekung mewah yang bertatahkan 5,000 kristal Swarovski itu diserahkan sendiri oleh Prince Syed bersama isterinya, Fatin Syazwani Ishak, kepada pendakwah terkenal, Ustazah Asma' Harun, untuk disumbangkan kepada Perkampungan Al-Hijrah, pusat pengajian Islam yang diasaskan oleh ustazah berkenaan.

"Alhamdulillah, telekung yang pernah viral hingga ke luar negara ini telah kami serahkan kepada Ustazah Asma. Ia sangat bermakna buat kami," ujar Syed menerusi hantaran di TikTok.


Momen penyerahan itu turut dikongsikan dalam sebuah video yang memaparkan Ustazah Asma menerima telekung berwarna putih dengan penuh rasa syukur dan senyuman.


Tindakan murni pasangan tersebut menerima reaksi positif dalam kalangan netizen yang memuji keprihatinan mereka dalam menyokong dakwah dan pendidikan Islam melalui infak barangan bernilai tinggi.

"Semoga Allah melimpahkan rezeki yang berpanjangan dan kebahagiaan dunia akhirat buat pasangan ini," komen salah seorang pengguna TikTok.


Untuk rekod, telekung berkenaan pada asalnya dihasilkan khas oleh Syed sebagai hadiah buat isterinya, dan pernah mencuri tumpuan ramai kerana rekaan mewah serta kehalusan perinciannya. Ia dikatakan mengambil masa seminggu untuk disiapkan.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post