Kalau Tunggu Tenang, Memang Takkan Solat

 

Kuala Lumpur, 26 Mei 2025 – Sebuah perkongsian menyentuh hati mengenai kesedaran mendirikan solat tepat pada waktunya telah meraih lebih 470,000 tontonan di TikTok dan mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen.


Kisah yang dikongsikan oleh seorang wanita muda itu bermula ketika dia berkunjung ke rumah kakaknya untuk membantu menyiapkan tempahan kuih. Ketika azan berkumandang, dia menyaksikan tindakan kakaknya yang terus menghentikan kerja dan segera menunaikan solat.

"Saya tanya dia, tak tunggu anak tidur dulu ke? Dia senyum dan jawab, 'Kalau tunggu semua tenang baru nak solat, memang takkan solat. Kadang kita yang kena belajar tenang dalam solat tu'," tulis wanita tersebut.


Kenyataan itu, menurutnya, memberi teguran halus namun tajam yang menyedarkan dirinya bahawa solat tidak seharusnya menjadi keutamaan terakhir selepas menyelesaikan hal dunia.

"Sejak itu saya ubah cara fikir. Bukan tunggu masa lapang baru solat… tapi solat dulu, Allah yang bagi kelapangan selepas itu," katanya.


Perkongsian itu dihujani pelbagai komen positif daripada netizen yang turut berkongsi pengalaman dan kesedaran mereka mengenai kepentingan solat di awal waktu.


Dalam Islam, solat pada waktunya adalah antara amalan paling utama. Sabda Rasulullah SAW:

“Amalan yang paling utama adalah solat pada awal waktunya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Manakala dalam Surah Al-Ma’un ayat 4-5, Allah SWT berfirman:

“Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang, (iaitu) mereka yang lalai daripada menyempurnakan solatnya.”


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post