Isu Tugasan Sekolah: Ibu Bapa Minta Cikgu Maklum Melalui WhatsApp

 


Kuala Lumpur, 26 Mei 2025 – Perdebatan berhubung tanggungjawab menyampaikan tugasan sekolah kepada ibu bapa terus menjadi topik hangat dalam kalangan warga pendidik dan ibu bapa, terutamanya di platform media sosial serta mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).


Menerusi satu hantaran tular di TikTok dan Facebook, seorang wanita berkongsi pengalamannya menghadiri mesyuarat PIBG anaknya baru-baru ini, di mana seorang ibu bapa mencadangkan agar guru-guru memaklumkan kerja sekolah melalui kumpulan WhatsApp kelas.

“Ada parents cadangkan agar cikgu WhatsApp dalam grup kelas sekiranya terdapat kerja sekolah,” katanya.


Namun, cadangan itu dibalas tegas oleh seorang guru yang hadir dalam mesyuarat tersebut dengan menekankan bahawa murid perlu belajar berdikari dan bertanggungjawab terhadap kerja yang diberi.

“Anak-anak perlu berdikari dan peka dengan kerja sekolah yang diberi. Ini untuk melatih murid lebih fokus dan bertanggungjawab,” ujar guru tersebut seperti yang dikongsikan wanita berkenaan.


Guru tersebut turut menambah bahawa peranan ibu bapa bukan sekadar menerima makluman, tetapi aktif bertanya dan memantau anak-anak secara konsisten.

“Mak ayah pun kena ambil peranan dengan bertanya jika anak ada kerja sekolah atau tidak,” jelasnya lagi.


Wanita itu turut berkongsi pandangannya bahawa cadangan untuk memaklumkan setiap tugasan secara digital akan membebankan guru yang mengajar pelbagai subjek dan kelas dalam sehari.

“Seorang guru ada empat atau lima kelas, satu kelas ada empat atau lima subjek... semua membebankan guru,” katanya sambil menyatakan sokongan terhadap kenyataan pihak sekolah.


Perkongsian itu mencetuskan perbincangan meluas dalam kalangan warga maya, termasuk mereka yang membandingkan sistem pembelajaran masa kini dan dahulu.

“Zaman dulu tak ada WhatsApp, mak ayah survive je. Anak-anak pun lebih berdikari,” tulis seorang pengguna.

“Mak ayah zaman sekarang perlu tanya anak-anak setiap hari dan jangan lepas tangan,” tambah yang lain.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post