Kematian Mengejut Akibat Masalah Jantung Jadi Punca Utama Kematian Ahli Bina Badan Lelaki

 

Padova, Itali 26 Mei 2025 – Kematian mengejut akibat masalah jantung kini dikenal pasti sebagai penyebab utama kematian dalam kalangan ahli bina badan lelaki, terutama di peringkat profesional, menurut kajian terbaru yang diterbitkan dalam European Heart Journal.


Kajian berskala besar ini diketuai oleh Dr Marco Vecchiato dari Universiti Padova, Itali, melibatkan analisis ke atas 20,286 ahli bina badan lelaki yang pernah menyertai pertandingan anjuran Persekutuan Bina Badan dan Kecergasan Antarabangsa (IFBB) antara tahun 2005 hingga 2020.


Data diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk rekod rasmi pertandingan, media sosial, forum bina badan, blog, serta laporan media dalam lima bahasa. Setiap kes kematian disahkan dan dikaji secara menyeluruh oleh dua pakar klinikal bagi memastikan punca kematian tepat.

Antara dapatan penting kajian:

  • 121 kes kematian dikenal pasti.
  • Purata usia kematian: 45 tahun.
  • 38% kematian berpunca daripada serangan jantung mengejut.
  • Risiko kematian jantung secara mengejut 5 kali ganda lebih tinggi dalam kalangan atlet profesional berbanding amatur.


Menurut Dr Vecchiato, kombinasi latihan kekuatan ekstrem, penurunan berat badan secara drastik, dehidrasi akibat diet ketat, serta penggunaan bahan peningkat prestasi, memberi tekanan besar kepada sistem kardiovaskular, mengubah struktur jantung dan meningkatkan risiko maut.

“Dalam beberapa laporan bedah siasat, kami mendapati jantung mereka membesar dan menebal, malah ada yang menunjukkan tanda awal penyakit arteri koronari,” jelas Dr Vecchiato.


Kajian ini memberi amaran jelas kepada komuniti bina badan agar tidak menjadikan bentuk fizikal ekstrem sebagai satu obsesi yang mengorbankan kesihatan.

“Mengejar kecemerlangan fizikal memang sesuatu yang baik. Namun, apabila menjadi terlalu ekstrem, ia boleh menjejaskan kesihatan  terutama kesihatan jantung,” tegas Dr Vecchiato.


Sebagai langkah keselamatan, penyelidik mengesyorkan agar:

  • Pemeriksaan jantung secara berkala dilakukan oleh atlet bina badan.
  • Pendidikan kesedaran kesihatan disebar luas dalam komuniti kecergasan.
  • Kawalan terhadap penggunaan steroid anabolik dan bahan tambahan berisiko tinggi diperketatkan.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post