Seorang wanita mendakwa hidupnya diganggu entiti menakutkan selama bertahun-tahun, dan gangguan itu dipercayai berpunca daripada perbuatan sihir yang dihantar oleh bekas suaminya melalui patung beruang yang dihadiahkan kepada anak mereka.
Pendedahan mengejutkan itu dibuat oleh seorang perawat spiritual dikenali sebagai Tok Qiqi menerusi satu hantaran di Facebook, selepas membantu mangsa mendapatkan rawatan alternatif.
Menurut Tok Qiqi, siasatan rohani yang dijalankan mendapati bahan sihir telah disembunyikan di dalam patung beruang yang diberikan sempena hari lahir anak tunggal wanita terbabit.
"Siapa sangka sihir yang sudah lama menghantui mangsa, rupanya datang daripada patung 'bear' ini. Ia dijadikan alat untuk menyalurkan gangguan," jelas Tok Qiqi dalam perkongsiannya.
Mangsa dikatakan sering melihat makhluk menakutkan muncul di bilik anaknya, dan mengalami kesakitan fizikal serta tekanan jiwa berpanjangan tanpa sebab perubatan yang jelas.
Mengulas latar belakang kes, Tok Qiqi mendakwa bekas suami wanita berkenaan pernah terlibat dalam keganasan rumah tangga dan hubungan sulit, yang akhirnya membawa kepada penceraian secara paksa melalui campur tangan pihak berkuasa.
"Bekas suami enggan lepaskan walaupun sudah disabitkan dengan pelbagai kesalahan. Selepas bercerai, dia berdendam dan cuba menyeksa bekas isterinya secara batin," katanya.
Wanita tersebut dilaporkan telah mula pulih secara beransur-ansur selepas mendapatkan rawatan daripada Tok Qiqi. Video pembakaran patung beruang yang dipercayai menjadi medium sihir turut dikongsi sebagai langkah simbolik memutuskan hubungan ghaib yang mengikat mangsa.
Perkongsian kes ini menimbulkan pelbagai reaksi warganet, antaranya yang menyuarakan kebimbangan terhadap penyalahgunaan ilmu hitam dalam hubungan kekeluargaan.
Tok Qiqi turut menyeru masyarakat agar lebih berhati-hati dan tidak mengambil ringan tentang barangan yang diterima daripada individu bermasalah, khususnya dalam konteks hubungan yang sudah terputus.
“Jangan simpan apa-apa hadiah atau barangan yang mencurigakan daripada bekas pasangan yang pernah bersikap ganas atau berdendam,” pesannya.
Post a Comment