PU Syed Tegur Trend Tindik Hidung


Tindakan sesetengah individu termasuk selebriti yang menindik hidung atas alasan fesyen atau kehendak peribadi mendapat teguran daripada pendakwah bebas, PU Syed yang menegaskan bahawa perbuatan tersebut adalah haram di sisi Islam.


Menurut Syed Mohd Bakri Syed Ishak, atau lebih dikenali sebagai PU Syed, isu tindik hidung bukan sekadar soal persetujuan pasangan atau keluarga, sebaliknya melibatkan hukum syarak yang jelas mengharamkan perbuatan tersebut.

"Hukum menindik hidung ni bukan soal suami setuju atau mak ayah tak marah. Ia termasuk dalam perbuatan tasyabbuh iaitu menyerupai kaum beragama lain, dan ini dilarang dalam Islam," katanya menerusi satu hantaran di media sosial.


PU Syed turut memetik hadis Nabi SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka" – Riwayat Abu Daud.


Menurut beliau, beberapa jabatan mufti negeri juga telah mengeluarkan fatwa mengharamkan perbuatan menindik hidung atas alasan penyerupaan dengan amalan budaya dan agama lain yang tiada asas dalam syariat Islam.

"Kalau kita ikut kebiasaan orang Islam, menindik telinga itu sudah mencukupi. Tak perlu tindik hidung, bulu kening, atau lidah. Islam ada panduan jelas berdasarkan al-Quran dan hadis."


Laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menegaskan bahawa hukum menindik hidung adalah haram menurut mazhab Syafie kerana:

  1. Ia bukan bentuk perhiasan lazim dalam masyarakat Islam tempatan.
  2. Ia mempunyai unsur penyerupaan dengan ritual keagamaan tradisi lain.
  3. Tiada keperluan syarie atau maslahat yang mengharuskannya.

“Sebarang bentuk perhiasan mestilah menepati garis panduan syariah dan tidak menyerupai ritual kaum atau agama lain,” menurut kenyataan rasmi portal tersebut.


Teguran PU Syed mendapat pelbagai reaksi di media sosial. Ramai menyokong pendiriannya dan menyarankan agar masyarakat Islam merujuk pihak berautoriti dalam hal berkaitan hukum hakam.

“Fesyen boleh, tapi jangan sampai langgar hukum. Kalau dah ada garis panduan jelas, kenapa kita nak cari alasan untuk langgar?” kata seorang pengguna TikTok.


PU Syed mengingatkan umat Islam supaya meletakkan keutamaan kepada hukum agama dalam setiap tindakan.

“Walaupun pasangan reda atau ibu bapa benarkan, kita sebagai umat Islam perlu meletakkan pandangan Islam sebagai aulawiyat (keutamaan) dalam hidup,” katanya.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post