Pelakon terkenal Amar Baharin dan pendaki negara Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin, kini hampir tiba di destinasi pengakhiran misi kayuhan mereka, selepas berada kira-kira 400 kilometer dari Madinah.
Kedua-dua mereka kini berada di wilayah Al Qasim, Arab Saudi dan sedang berehat sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Masjid Nabawi, yang dianggarkan mengambil masa lebih empat jam lagi dengan berbasikal.
Misi berbasikal sejauh ribuan kilometer dari Malaysia ke Tanah Suci ini adalah sebahagian daripada program #JourneyToTanahHaram, yang dimulakan dari Perlis dan merentasi beberapa negara termasuk Thailand dan Iran, sebelum tiba di tanah Arab.
Menurut isteri Amar, pelakon dan pengacara Amyra Rosli, misi tersebut dijangka diakhiri di Madinah dan tidak diteruskan ke Makkah seperti yang dirancang pada awalnya, memandangkan musim haji sudah bermula dan kemasukan ke Makkah adalah terhad.
“Mereka dijangka akhiri kayuhan ini di Madinah sahaja sebab sekarang ini musim Haji, jadi tidak boleh masuk. Perancangan asal memang mahu ke Makkah. Tetapi saya tidak boleh hendak cakap banyak. Mereka pun apabila saya tanya, akan jawab Insya-Allah,” ujar Amyra.
Amyra turut memaklumkan bahawa Amar dan Qobin menghadapi cabaran besar dalam bentuk cuaca ekstrem, dengan suhu mencecah sehingga 51 darjah Celsius. Disebabkan itu, mereka tidak berkayuh setiap hari, sebaliknya mengambil masa untuk berehat sehari atau dua selepas menempuh jarak tertentu.
“Perjalanan mereka bukan senang nak cari hotel atau makanan. Tapi mereka tak tergesa-gesa, kayuh slow and steady sahaja,” katanya.
Amyra meluahkan rasa syukur apabila suaminya dan Qobin sering menerima bantuan makanan, minuman serta tempat menginap daripada penduduk tempatan.
“Ada yang beri makan, tumpang hotel atau rumah secara percuma. Orang di sana sangat mengalu-alukan mereka. Cabaran utamanya cuma cuaca panas, tapi semangat mereka sangat cekal,” katanya.
Amyra juga memaklumkan beliau menerima perkembangan harian daripada Amar dan berasa tenang dengan keadaan mereka.
“Saya lega bila tahu dia okay dan boleh sesuaikan diri. Bila mereka tak mengalah, saya nampak mereka sangat hebat,” ujarnya lagi.
Setelah misi kayuhan ditamatkan di Madinah, kedua-dua mereka dijangka pulang ke Malaysia dengan menaiki kapal terbang, menurut Amyra.
Post a Comment