Pengacara dan pelakon Sharifah Aleya memilih untuk kekal tenang dan tidak ambil peduli komen negatif netizen mengenai penampilan terkininya yang tampil dengan subang di hidung.
Menurut Aleya atau nama penuhnya Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 43, keputusan bertindik dibuat atas pilihan peribadi semata-mata kerana dia menyukai gaya tersebut.
“Mestilah saya pernah dapat komen negatif seperti itu, tapi bertenang… ia cuma tindik hidung. Saya tiada sebab buat ini, cuma mahu bertindik. Saya menyukainya. Suami saya suka. Ibu bapa saya pun okay saja,” katanya dalam program Sembang Wanita Xtra yang disiarkan di YouTube.
Aleya turut berkongsi bahawa ibu bapanya tidak membantah, malah ibunya kadangkala memuji aksesori tersebut.
Selain hidung, Aleya pernah terfikir untuk bertindik di bahagian kening dan lidah. Namun, selepas mempertimbangkan risiko dan pantang larang yang perlu diikuti, dia memutuskan untuk tidak meneruskan niat itu.
“Di lidah, saya diberitahu perlu makan makanan lembut selama dua minggu. Masalahnya saya suka makan pedas, jadi tak jadi lah,” katanya berseloroh.
Mengenai kerjaya sebagai pengacara dan personaliti TV, Aleya mengakui sentiasa bersikap profesional dan tidak keberatan untuk membuka subang hidung sekiranya diperlukan dalam mana-mana produksi.
“Benda ini boleh dibuka bila-bila masa. Kalau diminta buka sebab kerja, saya okay saja. Saya faham kalau ada yang tak selesa tengok,” tambahnya dengan tenang.
Sharifah Aleya sebelum ini dikenali dengan pembawaan perwatakan yang unik dan lantang bersuara dalam pelbagai isu sosial serta terkenal dengan gaya hidup yang autentik dan jujur kepada dirinya sendiri.
Post a Comment