Ajaib! Wanita Selamat Selepas Terjatuh dari Tingkat 12 Pangsapuri

 

JIANGXI, CHINA 24 Mei 2025  Seorang wanita di China melalui detik yang tidak akan dilupakan seumur hidup apabila terselamat dalam tragedi ngeri terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri.


Peng Huifang, 44, yang bekerja sebagai tukang cuci, terjatuh dari ketinggian lebih 30 meter ketika membantu suaminya memasang tingkap untuk seorang pelanggan pada 13 Mei lalu. Meskipun terhempas ke tanah, dia terselamat dan sempat menjerit kepada suaminya, "Saya belum mati."


Menurut laporan tempatan, insiden berlaku apabila tingkap berat yang sedang diangkat menggunakan kren tersangkut pada dahan pokok dan terjatuh menyebabkan keseluruhan kren tertarik dan menjatuhkan Peng, yang ketika itu memegang alat kawalan jauh.

“Saya cuma fikir mati, saya akan tinggalkan dunia ini selama-lamanya,” kata Peng ketika mengimbas semula saat cemas tersebut.


Kejadian itu menjadi lebih luar biasa apabila Peng sempat melanggar awning (peneduh) sebelum jatuh ke tanah yang dipercayai menyerap hentakan dan menyelamatkan nyawanya.


Beliau segera dikejarkan ke Hospital Gabungan Kedua Universiti Nanchang, dan telah menjalani pembedahan akibat kecederaan serius, termasuk patah di kedua-dua kaki dan bahagian bawah tulang belakang. Namun, bahagian atas tubuhnya dilaporkan tidak mengalami kecederaan.


Para doktor optimis dengan tahap pemulihan Peng, dan menjangkakan beliau akan dapat berjalan semula secara normal dalam tempoh sekitar enam bulan.

“Kejadian ini sepenuhnya berpunca daripada kegagalan kami mengendalikan peralatan dengan betul. Ia tiada kaitan dengan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan penuh penyesalan.


Peng turut berharap kisahnya menjadi peringatan kepada semua yang bekerja di tempat tinggi agar lebih mematuhi prosedur keselamatan dan tidak mengambil mudah aspek perlindungan diri.


Setakat ini, keluarganya telah membelanjakan lebih 70,000 yuan (kira-kira RM45,000) untuk rawatan dan sedang mencari bantuan kewangan untuk menampung kos pemulihan jangka panjang.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post