KUALA LUMPUR, 19 Mei 2025 – Pelakon popular Sharifah Sakinah mendedahkan beliau kini lebih bahagia sejak mengambil keputusan untuk tidak lagi aktif di media sosial.
Menurut Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 39, kehidupannya menjadi lebih tenang dan positif selepas beberapa bulan tidak membuka sebarang akaun media sosial peribadi.
“Saya sudah lama tak buka media sosial, beberapa bulan juga dan itu buatkan saya seronok. Hidup saya pun semakin bahagia sebab tidak tahu apa jadi di luar sana,” ujarnya ketika ditemui mStar.
Tambahnya, akaun media sosial miliknya kini dikendalikan oleh kakaknya yang akan memuat naik sebarang kandungan berkaitan kerja atau promosi jika diperlukan.
Sakinah juga menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat kerana enggan membuka ruang kepada spekulasi atau komen negatif terhadap kehidupan peribadinya.
“Tak perlu saya kongsikan tentang kehidupan peribadi saya, tambah pula saya ada anak. Saya tak mahu mengundang komen buruk. Bila ada benda boleh dikongsikan, baru saya muat naik,” katanya.
Pelakon yang dikenali dengan karakter spontan dan lantang itu turut mengakui tidak lagi mengikuti perkembangan dunia hiburan secara dekat dan langsung tidak tahu mengenai gosip terkini artis tempatan.
“Tanyalah fasal gosip artis mana-mana sekarang pun memang saya tak tahu,” katanya sambil tertawa.
Dalam perkembangan kerjaya, Sakinah kini sedang mempromosikan drama terbaharunya berjudul “Wok” yang kini ditayangkan menerusi platform penstriman Unifi TV.
Post a Comment