KUALA LUMPUR, 19 Mei 2025 – Seorang guru wanita berkongsi pengalaman pahit ketika awal kerjayanya apabila mendakwa menjadi mangsa budaya senioriti oleh rakan setugas lebih berusia di sebuah sekolah.
Kisah tersebut dikongsi menerusi satu hantaran di media sosial dan menarik perhatian ramai warganet yang rata-ratanya bersimpati dengan pengalaman yang dilaluinya.
Menurut guru berkenaan, tekanan emosi yang dihadapinya berpunca daripada sikap tidak profesional seorang guru senior yang ketika itu hampir bersara.
“Ada satu masa tu saya melawan balik bila dia suruh buat kerja dia. Anda semua tahu dia buat apa? Dia beli pisang goreng untuk semua cikgu kecuali saya. Dia sengaja tawarkan depan mata saya,” katanya.
Guru muda itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai bentuk "penghinaan halus" yang tidak sepatutnya berlaku di tempat kerja, apatah lagi dalam profesion mulia seperti perguruan.
Enggan terus menjadi mangsa, beliau akhirnya mengambil pendekatan yang sama untuk menyampaikan mesej kepada guru terbabit.
“Saya balas balik. Saya beli piza dan bagi dekat semua cikgu kecuali dia. Sampai dekat dia, saya tutup kotak piza,” kongsinya.
Beliau juga mengambil keputusan untuk tidak menghadiri sambutan hari persaraan guru tersebut, memberi alasan mengambil cuti kerana anaknya tidak sihat.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata menyokong tindakannya dan menyifatkan budaya buli di tempat kerja, terutama dalam kalangan pendidik, adalah perkara yang perlu dihentikan.
“Baguslah dia dah pencen. Tak ada orang suruh buat kerja dia. Harap pencen dia berkat la,” tulis salah seorang pengguna media sosial.
“Biasa orang dah besar rindu sekolah tapi tak rindu cikgu sebab ni lah... perangai tak elok,” ujar yang lain.
Isu budaya senioriti dan ketidakharmonian dalam kalangan warga pendidik sering menjadi topik perbincangan, dan kisah ini sekali lagi membuka mata banyak pihak tentang pentingnya suasana kerja yang sihat serta saling menghormati di sekolah.
Post a Comment