Pelajar Tahfiz Cedera Ditampar Warden Kerana Makan Roti Tanpa Kebenaran

 



KEMAMAN, 19 Mei 2025 – Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sebuah pusat tahfiz di daerah ini mendakwa telah ditampar oleh seorang warden kerana makan beberapa keping roti tanpa kebenaran, sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kiri dahinya.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 3.45 petang pada 26 April lalu di dalam bilik asrama pusat pengajian terbabit.

"Mangsa memaklumkan bahawa dia telah makan beberapa keping roti yang masih dalam bungkusan dan disimpan untuk sarapan keesokan harinya. Tindakan itu didakwa melanggar peraturan pusat tahfiz dan menyebabkan dia ditampar oleh warden," katanya ketika dihubungi pada Isnin.


Mohd Razi berkata, mangsa membuat laporan polis pada keesokan harinya sekitar jam 9.50 pagi sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman.

“Laporan pemeriksaan awal perubatan mangsa telah diperoleh dan pihak kami juga telah mengambil keterangan daripada suspek,” katanya.


Suspek berusia 41 tahun itu difahamkan telah dilantik sebagai warden pusat tahfiz berkenaan sejak Disember tahun lalu. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.


Pihak polis menggesa orang ramai, khususnya institusi pendidikan, agar menangani isu disiplin pelajar dengan pendekatan yang berhemah dan berlandaskan peraturan yang dibenarkan undang-undang.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post