Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Kereta Keluar Susur

 



ISKANDAR PUTERI, 19 Mei 2025 – Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 24.1, Jalan Johor Bahru - Pontian, di sini pagi Ahad.


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 pagi melibatkan motosikal jenis Honda RS yang ditunggang mangsa dan sebuah Perodua Myvi dipandu oleh seorang wanita berusia 66 tahun.


Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta terbabit keluar dari susur jalan untuk memasuki jalan utama sebelum dilanggar dari arah belakang oleh motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.


Impak pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya, manakala motosikalnya pula terpelanting ke dalam sungai berhampiran lokasi kejadian.


Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.


Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu dan berbahaya.


Polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5101322.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post