KUALA LUMPUR, 19 Mei 2025 – “Selagi saya tak mati, tangan saya tidak patah, selagi itu saya akan berjuang.” Itulah semangat kental ditunjukkan perejam utama negara, Mohamad Azlan Alias, meskipun mengalami kecederaan serius pada tangan ketika aksi final regu berpasukan Piala Asia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa, semalam.
Malaysia yang turun dengan misi besar untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 34 tahun, terpaksa akur apabila tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi penuh dramatik.
Azlan, yang digandingkan bersama tekong utama Mohammad Syahir Rosdi dan apit kanan Amirul Zazwan Amir, hampir mencipta kemenangan dalam perlawanan pertama, namun insiden kecederaan pada set kedua menggugat rentak skuad negara.
“Siku saya terkeluar dari posisi. Saya sendiri terpaksa tolak balik ke tempat asal. Memang amat sakit. Tapi saya tidak boleh lihat rakan-rakan saya kecewa. Bermain untuk Malaysia adalah satu perkara yang sangat penting bagi saya,” kata Azlan yang dilihat beberapa kali menerima rawatan di luar gelanggang.
Azlan tetap meneruskan permainan dan berjaya membantu pasukannya memenangi set kedua, walaupun perlawanan akhirnya berakhir dengan keputusan 11-15, 15-12, 15-17.
Beliau menegaskan bahawa kecederaan tersebut bukan alasan kekalahan, sebaliknya menilai bahawa mereka telah berusaha sebaik mungkin.
“Memang sedikit terganggu, tetapi ia bukan alasan. Kami sudah memberikan yang terbaik. Saya akan menjalani pemeriksaan lanjut dan imbasan untuk menilai tahap kecederaan sebenar,” ujarnya.
Azlan turut menyatakan azam untuk segera pulih menjelang dua kejohanan penting iaitu Piala Raja Thai pada Julai dan Sukan SEA di Thailand pada Disember ini.
“Saya akan berusaha lebih baik di Piala Raja Thai dan Sukan SEA nanti. Saya harap dapat pulih dalam masa terdekat,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Institut Sukan Negara (ISN) atas rawatan kecemasan yang diberikan.
Post a Comment