KUALA LUMPUR, 24 Mei 2025 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan 24 individu berkaitan siasatan penyeludupan bahan kimia berbahaya melalui kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut sumber, mereka yang dipanggil terdiri daripada pekerja tiga syarikat swasta serta pegawai dan kakitangan dari tiga agensi penguat kuasa yang beroperasi di KLIA.
Siasatan mendapati bahan kimia tersebut dibawa masuk tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP), malah diikrarkan sebagai produk aksesori dan barangan isi rumah, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan di lapangan terbang utama negara.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin, memaklumkan pihaknya sedang mengenal pasti kelemahan tata kelola dan penguatkuasaan yang membolehkan kemasukan bahan tersebut secara tidak sah.
“Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) turut membuka satu kertas siasatan khusus bagi meneliti aspek pentadbiran, pengurusan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara,” katanya.
Kegiatan ini dipercayai turut dikaitkan dengan dua insiden kebakaran pada tahun 2024 yang dipercayai berpunca daripada bahan kimia terbabit, mencetuskan kebimbangan awam terhadap keselamatan operasi kargo di KLIA.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 yang merangkumi kesalahan menerima atau memberi rasuah melibatkan penjawat awam atau pihak berkepentingan.
Post a Comment