KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Seorang ibu muda meluahkan rasa tertekan selepas mendakwa terpaksa menanggung beban kewangan keluarga dan menjaga anak yang baru berusia lima bulan hampir sendirian, gara-gara suami yang didakwa gagal menjalankan tanggungjawab sebagai bapa.
Dalam satu hantaran yang tular di media sosial, wanita berkenaan berkongsi pengalaman getir apabila terpaksa keluar bekerja seawal jam 3 pagi, sambil menyatakan kebimbangannya meninggalkan anak kecil di bawah jagaan suami.
“Saya tak tenang nak cari rezeki. Pernah suami tak bagi susu selama lima jam. Anak menangis kelaparan, tapi dia sumbat puting saja sampai anak tertidur semula,” luah wanita itu yang tidak mendedahkan identiti atau pekerjaan dilakukannya.
Lebih menyedihkan, wanita itu turut mendakwa suaminya meletakkan telefon dalam mod penerbangan dan tidak membalas pesanan ketika dia cuba menghubungi untuk mengingatkan agar memberi susu kepada anak.
“Alarm bunyi pun dia tak bangun. Saya stres sangat, rasa tak boleh harap,” katanya lagi.
Menurut wanita tersebut, dia juga tidak sanggup menghantar anaknya ke rumah pengasuh selepas melalui pengalaman buruk apabila anak pernah dibedung, ditiarapkan, dan diberi susu dalam posisi yang membahayakan.
“Saya serik. Tapi saya tiada pilihan. Saya terpaksa keluar bekerja sebab kos sara hidup semakin tinggi, malah pinjaman kereta dan rumah pun tertunggak,” jelasnya dalam hantaran sama.
Luahan wanita itu mendapat perhatian ramai netizen, terutama golongan ibu yang memahami keperitan membesarkan anak kecil tanpa sokongan kukuh daripada pasangan.
Isu berkenaan turut mencerminkan realiti sesetengah ibu muda yang berdepan tekanan berganda iaitu mengurus rumahtangga, menjaga anak, dan dalam masa sama terpaksa menjadi tonggak kewangan keluarga.
Post a Comment