Iqbal Zulkefli Luah Rasa Kehilangan Selepas Pemergian Kucing Kesayangan

 

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Pemergian kucing peliharaan kesayangan memberi kesan mendalam kepada usahawan dan personaliti media sosial, Ahmad Iqbal Zulkefli, 31, sehingga beliau sanggup tidur di dalam sangkar milik haiwan tersebut sebagai tanda rindu dan kasih sayang yang mendalam.


Kucing yang dinamakan Pablo, telah bersama Iqbal selama lima tahun sebelum disahkan meninggal dunia pada 16 Mei lalu akibat penyakit panleukopenia felin (juga dikenali sebagai parvo), sejenis jangkitan virus yang serius dalam kalangan kucing.

“Setiap hari saya berharap dapat mimpikan dia. Saya selalu menangis bila terkenangkan Pablo. Saya terlalu rindu sampai saya tertidur dalam sangkar dia,” katanya kepada mStar.


Iqbal membeli Pablo dengan harga RM18,000 dan menyifatkan kucing itu bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi teman setia yang menjadi sumber ketenangan saat berdepan tekanan kerja atau cabaran peribadi.


Lebih menyayat hati, Iqbal tidak sempat berada di sisi Pablo ketika saat-saat akhir hayatnya di sebuah klinik veterinar.

“Saya rasa bersalah dan rasa tak berguna kerana tak sempat bersama dia. Buat masa ini, hanya anak patung jadi pengubat rindu saya terhadap Pablo,” luahnya.


Iqbal turut menyedari ada pihak yang menganggap reaksinya keterlaluan, namun menegaskan bahawa kasih sayang terhadap haiwan peliharaan adalah sesuatu yang mendalam dan peribadi.

“Orang mungkin tak faham. Bagi mereka, ia hanya seekor kucing. Tapi bagi saya, dia adalah sebahagian daripada hidup saya. Hidup saya cuma ada anak dan Pablo,” katanya.


Kisah Iqbal menarik perhatian ramai netizen yang berkongsi rasa simpati dan memahami kesedihan kehilangan haiwan peliharaan, sesuatu yang sering dialami oleh pencinta haiwan.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post