KUALA LUMPUR, 20 Mei 2025 – Kisah rumah tangga dingin kembali mencuri perhatian di media sosial apabila seorang lelaki tampil meluahkan kekecewaannya terhadap sikap dingin isterinya yang sering mengelak untuk tidur bersama, malah dikatakan sudah lama tidak berkomunikasi secara mesra atau melakukan aktiviti bersama sebagai suami isteri.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di media sosial, lelaki tersebut turut mempersoalkan sama ada perbuatan isterinya itu boleh dikategorikan sebagai nusyuz, iaitu keengganan isteri menjalankan tanggungjawab terhadap suami seperti termaktub dalam hukum syarak.
“Boleh ke nak sabitkan isteri nusyuz sebab selalu sangat mengelak tidur dengan suami? Dia suka letak anak kiri dan kanan. Sekarang dah tak duduk sekali. Tak ingat dah bila dia betul nak tidur sebelah saya, pillow talk pun tiada,” luahnya.
Lelaki tersebut turut mendakwa isterinya bersikap agresif setiap kali berlaku perselisihan faham.
“Kalau bergaduh, campak barang satu rumah, pukul suami, rosakkan barang, terbalikkan makanan suami. Sampai bawa keluar pisau dan gunting acukan dekat saya,” katanya.
Selain itu, beliau mendakwa hubungan intim antara mereka juga dingin dan hambar, malah sebarang bentuk kasih sayang seperti pelukan dan ciuman ditolak oleh si isteri.
“Saya merayu minta kasih sayang, tapi dia tak dengar. Siap cabar saya cari lain dan minta cerai,” ujarnya lagi.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen. Ramai yang bersimpati, namun turut menasihati agar lelaki tersebut menilai semula punca perubahan sikap isterinya.
“Isteri tu dah tawar hati. Mungkin pernah terluka. Nak komen lebih-lebih pun susah sebab tak tahu kisah penuh,” kata seorang pengguna.
“Saya rasa dia pendam lama. Bila wanita simpan rasa kecewa bertahun-tahun, akhirnya kasih tu boleh hilang tanpa kita sedar,” kata seorang lagi netizen.
Menurut pakar kaunseling keluarga, situasi seperti ini perlu dirujuk segera kepada pihak berautoriti seperti kaunselor bertauliah atau pejabat agama untuk mendapatkan penyelesaian yang adil kepada kedua-dua pihak.
“Jika isteri benar-benar enggan menjalankan tanggungjawab, ia boleh dibawa ke mahkamah syariah untuk pengesahan nusyuz. Namun, penting untuk kenal pasti punca sebenar dahulu sebelum mengambil langkah drastik,” jelas seorang kaunselor rumah tangga.
Post a Comment