KUALA LUMPUR, 20 Mei 2025 – Penyampai radio popular, Haniff Hamzah, 40, menarik nafas lega selepas disahkan tidak menghidap sleep apnea meskipun mengalami masalah dengkuran teruk sejak kebelakangan ini.
Menerusi satu perkongsian di akaun TikTok miliknya, Haniff memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan kesihatan mendapati punca utama dengkuran tersebut adalah kurang tidur, bukan disebabkan gangguan pernafasan seperti yang dibimbangi sebelum ini.
“Keputusan sudah keluar dan saya berdebar adakah saya ada sleep apnea sampai kena pakai mesin CPAP? Tapi Alhamdulillah saya okay. Saya cuma ada apnea tidur sangat minimum. Tak perlu pembedahan atau mesin,” katanya.
Menurut Haniff, masalah dengkuran yang dialaminya sangat ketara sehingga mampu mengganggu orang lain di sekitar.
“Mak saya buat kerja di luar pun boleh dengar saya berdengkur dalam bilik. Itu yang buat saya ambil keputusan untuk berjumpa pakar,” jelasnya.
Beliau menjalani pemeriksaan menyeluruh dengan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) serta tidur selama lapan jam di hospital bagi menjalani ujian tidur lengkap termasuk pemantauan otak, jantung dan pernafasan.
Tambah Haniff, doktor turut menasihatkannya untuk mengamalkan 'kebersihan tidur' (sleep hygiene) iaitu dengan menjaga gaya hidup agar kualiti tidur bertambah baik.
Sleep apnea merupakan gangguan tidur serius di mana pernafasan seseorang terhenti seketika berulang kali ketika tidur. Keadaan ini boleh menyebabkan kualiti tidur terganggu dan memberi kesan kepada kesihatan jantung, tekanan darah serta tahap tenaga harian.
Post a Comment