SHAH ALAM, 20 Mei 2025 – Seorang gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Nina berkongsi detik menyeramkan apabila menyedari dirinya tinggal berseorangan di sebuah rumah sewa, walaupun selama beberapa hari dia percaya ditemani oleh seorang ‘teman serumah’ – yang sebenarnya bukan manusia.
Kisah yang tular di laman sosial itu bermula apabila Nina berpindah ke Shah Alam kerana menerima tawaran kerja dan menyewa di rumah berhampiran tempat kerja bagi memudahkan urusan harian.
“Owner rumah cakap housemate seorang je, tapi balik kampung. Tak lama lepas saya masuk, ada seorang perempuan balik, katanya housemate dari kampung. Kami sembang, makan sekali, dia pun tidur sekatil dengan saya,” katanya.
Namun, selepas beberapa hari, Nina mula menyedari pelbagai kejadian pelik.
“Dia wangi sangat, bau bunga. Tapi rumah tiada sabun, berus gigi. Nasi yang dimasak cepat basi, dan dia selalu termenung. Setiap malam pula dia tidur dengan saya,” cerita Nina.
Keganjilan semakin terasa apabila housemate ‘baru’ yang sebenar tiba dan menafikan kewujudan sesiapa selain mereka berdua.
“Dia tanya, ‘Akak tak takut duduk sorang? Akak cakap dengan siapa?’. Saya terkejut. Saya memang nampak dan bercakap dengan ‘orang’ lain,” ujar Nina.
Kemuncak gangguan berlaku apabila Nina bertemu jiran dan mendengar seorang budak lelaki di kawasan itu sering melihat dia bercakap seorang diri. Apabila dia bertanya kepada tuan rumah mengenai housemate yang didakwa ‘baru pulang dari kampung’, jawapan yang diterima membuatkan darahnya berderau.
“Owner balas ‘Awak memang duduk sorang’. Masa tu saya terduduk. Tapi saya baru je lalu sebelah ‘dia’ dalam rumah. Lengan dia sejuk macam ais!”
Ketakutan memuncak membuatkan Nina menghubungi ibu bapanya yang kemudian membawa dia mendapatkan rawatan alternatif daripada seorang perawat.
Perawat yang merawat Nina mengesahkan kehadiran entiti pocong yang dihantar untuk tujuan khurafat, namun telah terputus tuan dan ‘menumpang’ di rumah itu.
“Bau wangi bunga melur, cempaka, dan kapur barus itu petanda jelas. ‘Dia’ nak saya buka ikatan di kepalanya. Malam lepas dirawat, ‘dia’ datang dalam bentuk sebenar. Bau busuk, besar, keras, tak boleh bergerak. Sampai ke pagi,” katanya menggigil mengenang pengalaman itu.
Menurut Nina, kedua-dua penghuni asal rumah itu juga berdepan gangguan misteri yang menyebabkan mereka berpindah sebelum sempat dia mengenali mereka dengan lebih lanjut.
Kini, Nina masih dalam fasa pemulihan dan memohon doa orang ramai agar dirinya kembali pulih sepenuhnya secara fizikal dan mental.
Post a Comment