Tercicir Sekolah, Wanita 27 Tahun Bangkit Ambil SPM

 

KUALA LUMPUR, 23 Mei 2025 – Seorang wanita berusia 27 tahun nekad untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara persendirian selepas menyedari kepentingan sijil itu dalam memohon pekerjaan, meskipun telah lama tercicir dari alam persekolahan.


Wanita berkenaan hanya memiliki sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan berhenti sekolah ketika berusia 16 tahun sewaktu di Tingkatan Empat.

“Saya berhenti sekolah pada usia 16 tahun. Tak ada SPM,” katanya dalam satu hantaran yang tular di media sosial.


Menurutnya, meskipun mempunyai kemahiran dalam bidang jahitan dan rekaan fesyen, beliau berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan tetap, terutamanya dalam sektor swasta dan kerajaan.

“Saya nak ambil SPM bukan untuk sambung belajar, tapi sebab nak keluar cari kerja dan upgrade diri. Dulu saya pelajar tercicir, tapi sekarang saya nak baiki hidup,” katanya lagi.


Hasrat murninya menerima sokongan dan kata-kata semangat daripada netizen yang memuji usaha serta keberaniannya untuk bangkit semula.

“Tahniah. Awak buktikan bahawa walaupun tercicir, masih ada peluang untuk terus maju,” tulis seorang pengguna.


Netizen turut menyarankan agar beliau mendapatkan maklumat lanjut di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan mendaftar untuk SPM persendirian, yang lazimnya melibatkan bayaran sekitar RM150.


Turut dicadangkan adalah menyertai kelas tuisyen bagi membantu memahami teknik menjawab soalan dan silibus semasa peperiksaan.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post