PULAU PINANG, 23 Mei 2025 – Sepasang suami isteri direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan anak perempuan mereka berusia 12 tahun di sebuah kondominium di Sungai Ara, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, memaklumkan bahawa lelaki berusia 47 tahun yang bekerja sebagai penyelia kilang dan isterinya, 49, pengurus program di sebuah kilang elektronik, ditahan selepas pihak sekolah membuat laporan polis pada Selasa lalu.
“Perintah reman terhadap suspek lelaki bermula Rabu, manakala isterinya bermula Khamis. Tempoh reman masing-masing akan tamat pada Sabtu dan Ahad ini,” kata Sazalee.
Beliau turut mengesahkan bahawa ujian air kencing kedua-dua suspek adalah negatif dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut siasatan awal, murid tahun enam itu mendakwa dirotan di bahagian belakang badan pada Ahad lalu, selain kerap dipukul dan pernah dikurung dalam sangkar anjing oleh ibu bapanya.
Kes penderaan terbongkar selepas guru kaunseling sekolah mengesan kesan lebam dan luka pada badan mangsa dan memaklumkan kepada guru besar, yang seterusnya membuat laporan polis pada jam 11.57 pagi, Selasa.
Mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Post a Comment