Isu hubungan antara menantu dan ibu bapa mentua kembali menjadi perbincangan hangat di media sosial apabila seorang wanita menyuarakan pandangan tegas terhadap sikap segelintir menantu yang didakwa enggan membantu atau bersikap prihatin ketika berada di rumah mentua.
Dalam satu hantaran tular, wanita berkenaan meluahkan rasa kesal terhadap sikap "lepas tangan" segelintir menantu, terutamanya wanita, yang tidak ringan tulang ketika berada di rumah mertua.
“Sekarang banyak sangat cakap menantu tak wajib buat kerja rumah mentua. Tapi common sense tu mana? Duduk rumah mentua langsung tak buat kerja, sebab menantu?” katanya.
Wanita itu turut berkongsi situasi di mana terdapat ibu bapa mentua yang terpaksa menyedia makan minum anak lelaki mereka meskipun anak itu sudah beristeri.
“Mentua tua kena sediakan makan minum untuk anak lelaki dari pagi ke malam, menantu pula tak rasa nak tolong langsung. Bukan nak suruh sental tandas, cuma tolong yang kecil-kecil pun cukup,” tegasnya.
Beliau menegaskan, tujuan nasihatnya bukan untuk mewajibkan layanan keterlaluan, tetapi menyeru agar menantu menunjukkan sikap hormat dan empati, sekurang-kurangnya setanding dengan layanan terhadap ibu bapa kandung sendiri.
Pandangan tersebut menerima pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial. Ada yang menyokong dan mengakui pernah berdepan menantu yang “datang seperti tetamu”.
Namun begitu, terdapat juga netizen yang menyatakan mereka lebih rajin di rumah mentua berbanding di rumah sendiri, dengan alasan untuk menjaga nama baik ibu bapa sendiri.
“Yang penting orang luar tak burukkan mak kita tak pandai didik anak,” kata seorang netizen.
Post a Comment