Wanita Ditahan Jual Pendakap Gigi Haram Secara Dalam Talian

 

PHITSANULOK, 22 Mei 2025 – Seorang wanita berusia 25 tahun ditahan pihak berkuasa di wilayah ini selepas dikesan menjalankan perniagaan menjual pendakap gigi fesyen secara dalam talian tanpa lesen sah, dengan menyasarkan pelajar sebagai pelanggan utama.


Wanita terbabit ditahan di sebuah bilik yang turut menempatkan pelbagai alatan dan peranti berkaitan pergigian, dipercayai digunakan dalam aktiviti rawatan tidak bertauliah tersebut.


Menurut siasatan awal, suspek mempromosikan perkhidmatan itu melalui media sosial, menawarkan pemasangan pendakap gigi pada harga 1,000 hingga 1,500 baht (sekitar RM130 hingga RM200) tanpa sebarang kelulusan atau latar belakang profesional dalam bidang pergigian.


Pihak polis menjalankan operasi penyamaran dengan membuat tempahan perkhidmatan dan memindahkan wang pendahuluan ke akaun bank suspek sebelum menahannya dalam satu serbuan.

“Suspek mengaku membeli pendakap gigi dari kedai dalam talian dan menjualnya semula kepada pelanggan tanpa sebarang kelayakan profesional,” kata jurucakap polis.


Tindakan wanita itu didapati melanggar undang-undang perlindungan pengguna dan kesihatan awam kerana menjual barangan terlarang dan menjalankan rawatan pergigian tanpa lesen yang sah. Suspek bersama barang-barang yang dirampas kini diserahkan kepada Balai Polis Mueang Phitsanulok untuk siasatan lanjut dan tindakan undang-undang.


Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan secara dalam talian serta mendapatkan rawatan daripada pengamal bertauliah sahaja bagi mengelakkan risiko kesihatan jangka panjang.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post