JOGJAKARTA, 22 Mei 2025 – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan pihak polis selepas disyaki merosakkan beberapa batu nisan di tanah perkuburan awam di kawasan Bantul dan Kota Jogja, Indonesia, pada Isnin lalu.
Ketua Perhubungan Awam Polis Bantul, Nengah Jeffry, berkata suspek ditahan di rumahnya di Banguntapan dan mengaku melakukan perbuatan vandalisme tersebut menggunakan batu.
“Kita menahan suspek di rumahnya dan ketika ditahan dia mengaku terlibat. Turut dirampas ialah pakaian yang dipakai semasa kejadian serta batu bersaiz 30 sentimeter x 20 sentimeter yang digunakan untuk merosakkan batu nisan,” katanya.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif tindakan suspek, termasuk kemungkinan unsur psikologi atau tekanan persekitaran. Suspek sedang disoal siasat di Balai Polis Kotagede, Jogja, sebelum dibawa ke Balai Polis Bantul untuk siasatan susulan.
Nengah turut memaklumkan bahawa pihak polis akan mengadakan sidang media khas dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkembangan lanjut kes berkenaan.
Perbuatan merosakkan tempat persemadian dianggap sebagai tindakan tidak beretika dan menghina sensitiviti masyarakat, dan pihak berkuasa menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku vandalisme yang mencemarkan tempat suci tersebut.
Post a Comment