BESUT, 22 Mei 2025 – Sebuah lori muatan balak merempuh dua kenderaan, sebuah gerai makan serta pagar Sekolah Kebangsaan Pasir Akar dalam kejadian yang berlaku di Jalan Pasir Akar-Kampung Oh, Hulu Besut, petang semalam.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 2 petang, apabila lori yang dipandu dari arah Keruak, Pasir Akar menuju Kuala Terengganu hilang kawalan ketika melalui kawasan berselekoh.
Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, punca kejadian dipercayai berpunca daripada pemandu lori yang pitam akibat tekanan darah tinggi, menyebabkan kenderaan terbabas ke bahu jalan.
“Lori berkenaan kemudian merempuh dua buah kereta jenis Proton Waja dan Perodua Alza yang diparkir, sebuah gerai makan dan pagar sekolah berdekatan.
“Pemandu lori berusia 48 tahun telah dikejarkan ke Hospital Besut oleh ambulans bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut. Kes disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59. Pihak polis turut meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian supaya menghubungi Sarjan Jalani Mokhtar di talian 019-9899469 bagi membantu siasatan.
Post a Comment