Mas Idayu Akui Fail Cerai Selepas Dua Tahun Pertahan Rumah Tangga

 

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Penyanyi terkenal, Mas Idayu Mesnun, 53, memaklumkan keputusannya untuk bercerai dengan bekas suami, Muhammad Sufian Che Isa, bukanlah dibuat secara terburu-buru, sebaliknya selepas dua tahun mempertahankan perkahwinan mereka.


Menurut Mas Idayu, keputusan itu diambil setelah beristikharah serta mendapatkan pandangan daripada pihak yang lebih arif dalam hal agama.

“Saya bertahan selama dua tahun kerana sayangkan perkahwinan ini. Namun, selepas rujuk kepada kadi, ustaz dan mutawif, saya yakin saya layak menuntut cerai. Bukan kerana emosi semata-mata.

“Saya solat Istikharah setiap malam dan sepanjang bulan Rejab saya mohon petunjuk daripada Allah,” katanya ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Air Titik ke Batu, semalam.


Mas Idayu turut mendedahkan bahawa beliau memfailkan penceraian di Mahkamah Syariah tanpa pengetahuan Sufian, namun tidak berniat untuk menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan umum.

“Saya tidak hebohkan tentang penceraian itu, tetapi yakin Allah melindungi kami daripada aib,” ujarnya.


Tambah Mas Idayu, meskipun keputusan itu sukar, beliau kini berasa lebih tenang dan bahagia selepas berpisah.

“Saya tidak sedih kerana bercerai, cuma rasa bersalah kepada para penaja dan peminat yang menyokong perkahwinan kami. Namun, saya percaya ini adalah keputusan terbaik,” katanya.


Mas Idayu turut meminta orang ramai supaya tidak mudah menjatuhkan hukum terhadap dirinya, kerana hanya dia yang mengetahui apa yang dilaluinya sepanjang perkahwinan tersebut.


Sebelum ini, Sufian, yang merupakan Penerbit Eksekutif TV3, mengesahkan bahawa mereka telah bercerai pada 4 Mac laluUntuk rekod, Mas Idayu dan Sufian bernikah pada 16 September 2022, selepas mula saling mengenali sejak program Mentor 3 pada 2008 dan lebih akrab sejak 2021.


Sufian sebelum ini pernah berkahwin dengan personaliti televisyen, Intan Suraya, dan mempunyai seorang anak hasil perkahwinan terdahulu. Mas Idayu pula pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada tahun 1997 sebelum bercerai pada 2006, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Dayini Asyiqa, 27.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post