Siti Jamumall Tertidur di Pusat Beli-Belah

 

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Personaliti media sosial terkenal, Siti Jamumall, atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin, 26, mencuri perhatian warganet apabila video dirinya tertidur di sebuah pusat beli-belah tular di TikTok.


Momen menyentuh hati itu dirakam oleh sahabat baiknya, Ayunie Osman atau dikenali sebagai Anes Ayunie, 23, yang memuat naik video tersebut pada Selasa. Video berkenaan menunjukkan Siti sedang nyenyak tidur di sofa rehat ketika menunggu rakannya bagi membeli barangan keperluan bayi.


Menurut Ayunie, dia sepatutnya menemani Siti membeli barang bayi, namun tiba lewat ke lokasi. Ketibaan lewat itu menyebabkan Siti yang sedang hamil lima bulan menunggu sendirian sebelum tertidur keletihan.

"Saya tanya bibik dia mana puan, bibik kata puan Siti tengah tunggu dekat depan kedai baby. Bila saya sampai, dia dah terlena. Tak apalah, saya akan teman dia sampai bersalin," katanya dalam kapsyen video berkenaan.


Siti turut mengadu keletihan dan sakit badan kepada Ayunie sebaik sahaja tersedar daripada tidur, menyatakan dia tidak cukup rehat. Video itu mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-ratanya meluahkan rasa simpati terhadap keletihan yang dialami Siti, apatah lagi beliau sedang berdepan ujian rumah tangga selepas diceraikan baru-baru ini.


Ayunie dalam responnya berkata, dia tidak peduli akan kecaman atau persepsi negatif terhadap Siti mahupun bekas suaminya, Aiman Abdul Kudus, 22.

"Saya tak kisah kalau orang nak kecam. Apa yang penting, saya jalankan janji untuk teman kawan saya. Kita bukan dalam kasut dia, jadi doakan saja yang baik-baik," ujarnya.


Untuk rekod, Siti dan Aiman sah bercerai kali kedua pada 15 Mei lalu menerusi siaran langsung di TikTok. Pasangan ini juga hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 6 Mei bagi melengkapkan proses lafaz cerai pertama.


Siti sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Mohammad Syafiq pada tahun 2019 dan bercerai pada 2022. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Putra Adam Rizki, 6, dan Putra Aiman Zafran, 4. Beliau kemudian berkahwin dengan Aiman di Satun, Thailand, pada Jun tahun lalu.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post