TANJUNG MALIM, 22 Mei 2025 – Dua warga emas maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) dalam kejadian di Jalan Kuala Slim, malam semalam.
Mangsa dikenali sebagai Muhammed Sharif Hashim dan Sha’aarudin Aman, masing-masing berusia 73 tahun, berasal dari Felda Gunung Besout, Sungkai. Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhamad, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 9.06 malam melibatkan sebuah Proton Saga dan sebuah Toyota Hilux.
“Siasatan awal mendapati Proton Saga yang dinaiki dua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Slim menuju ke Besout 4. Namun, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Hilux dari arah berlawanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mangsa yang menaiki Proton Saga disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Slim River.
Dalam kejadian itu juga, pemandu Toyota Hilux berusia 30 tahun dan penumpang hadapan yang merupakan warga Sri Lanka berusia 20 tahun mengalami kecederaan masing-masing di bahagian telinga dan kaki kiri. Seorang lagi penumpang belakang, juga warga Sri Lanka berusia 25 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Post a Comment