ISKANDAR PUTERI, 22 Mei 2025 – Polis menahan seramai 19 lelaki, termasuk seorang remaja berusia 13 tahun, kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan bersenjata menggunakan parang dan rotan yang menyebabkan kecederaan di sebuah restoran di Taman Mutiara Mas, Skudai, pada 18 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, memaklumkan bahawa kejadian tersebut dilaporkan oleh seorang wanita tempatan berusia 20 tahun, yang berada di lokasi bersama tiga rakan lelaki.
“Mangsa melaporkan kejadian berlaku sekitar jam 12.40 tengah malam, Sabtu lalu, apabila dia dan rakannya telah diserang sekumpulan lelaki tempatan bersenjatakan parang dan rotan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Susulan laporan tersebut, polis melancarkan Op Cantas dan berjaya menahan kesemua 19 suspek dalam operasi yang dijalankan dari jam 5 petang Sabtu hingga 4 pagi Ahad.
Semua suspek yang ditahan berusia antara 13 hingga 46 tahun, dan hasil semakan rekod mendapati enam daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau. Ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah.
“Siasatan awal mendapati kejadian ini dipercayai berpunca daripada dendam antara dua kumpulan, dan kes diklasifikasikan sebagai kes pergaduhan bersenjata,” tambah Kumarasan.
Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 Mei hingga 24 Mei 2025, di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.
Post a Comment