Lelaki Maut, Penumpang Cedera Dalam Kemalangan di Jalan Pantai, Port Dickson


 

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Seorang lelaki maut manakala penumpangnya mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas dalam satu kejadian di Kilometer 2.8, Jalan Pantai, Port Dickson, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin memaklumkan bahawa kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi, ketika mangsa dalam perjalanan dari Port Dickson ke Kuala Lumpur.

“Kenderaan yang dipandu lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik dan berpusing beberapa kali. Kenderaan tersebut kemudian merempuh tiang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga patah dan turut melanggar pagar pejabat TNB Port Dickson.

"Mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan tersangkut pada wayar elektrik, menyebabkan kematian di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan.


Penumpang yang berada di tempat duduk hadapan dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringanTambah Maslan, siasatan lanjut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu, dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah serta satu rekod jenayah.

“Walau bagaimanapun, kenderaan pacuan empat roda itu mempunyai cukai jalan dan insurans yang masih sah.

Pihak polis juga telah memperoleh rakaman dashcam dari kenderaan terlibat bagi membantu siasatan,” katanya lagi.


Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika memandu, terutama pada waktu malam dan di jalan berselekoh.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post