KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang wanita, Persana Avril Sollunda, 43, dari Kota Kinabalu, Sabah, selepas gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berkaitan penyebaran sijil nikah palsu yang dikaitkan dengan ahli keluarga diraja.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Haniff Ahijman, memaklumkan kepada mahkamah bahawa Persana telah menandatangani saman kehadiran pada 29 April lalu, namun tidak hadir ke prosiding pendakwaan yang dijadualkan jam 9 pagi hari ini.
“Oleh kerana tertuduh tidak hadir, pihak pendakwaan memohon agar satu waran tangkap dikeluarkan,” kata Muhammad Amir.
Hakim Norma Ismail membenarkan permohonan tersebut dan mengarahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh.
Persana dijangka berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes berkenaan mula mendapat perhatian umum selepas satu sijil perkahwinan yang didakwa palsu dan melibatkan ahli keluarga diraja tular di media sosial awal tahun ini.
Difahamkan, wanita itu pernah ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada Mac lalu bagi tujuan siasatan, namun telah dibebaskan selepas diambil keterangan.
Post a Comment