MERSING, 22 Mei 2025 – Seorang imam masjid ditemui lemas selepas terjatuh dari bot ketika memancing berhampiran Jeti Kampung Semaloi awal pagi tadi.
Mangsa, Mohd Al-Hafitz Md Yunos, 45, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira jam 12 tengah hari, hanya 100 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh sekitar jam 2.25 pagi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Mohd Supian Yahya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selama lebih 10 jam melibatkan pelbagai teknik pencarian termasuk kaedah 'windshield wiper searching' dan 'surface searching'.
“Mangsa berjaya ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA),” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, operasi awal dihentikan pada jam 3.30 pagi atas faktor keselamatan dan gelap, sebelum disambung semula pada jam 8 pagi dengan kekuatan 10 anggota PPDA dari Mersing dan Skudai menggunakan dua bot bomba.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Post a Comment