Penyanyi muda Zaki Yamani, 19, menegaskan bahawa sekiranya mempunyai teman wanita, dia lebih selesa merahsiakan hubungan tersebut daripada pengetahuan umum.
Zaki atau nama penuhnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah berkata, beliau mahu dikenali atas bakat nyanyian, bukan kerana kisah peribadi.
“Saya lebih suka diam-diam. Kalau bercinta sekalipun, saya tidak akan kongsi. Fokus utama saya sekarang ialah karier,” katanya kepada mStar pada pelancaran muzik video Aku Ada, duet bersama Putri Dahlia di Puchong, Jumaat lalu.
Mengulas lanjut, Zaki turut menolak dakwaan bahawa tindakan itu bertujuan menyembunyikan orientasi seksualnya.
“Saya straight. Tak mahu orang salah faham dan fikir yang bukan-bukan. Saya cuma nak elak spekulasi netizen dan jaga nama baik keluarga, terutama ayah,” katanya merujuk kepada bapanya, penyanyi terkenal Jamal Abdillah.
Zaki juga mengakui pernah beberapa kali putus cinta, namun menafikan dirinya seorang “kaki perempuan.”
“Biasanya saya yang ditinggalkan. Saya rasa tak semua orang pilih pasangan sebab rupa saja,” katanya.
Mengenai hubungannya dengan Putri Dahlia, Zaki menjelaskan mereka hanya kawan rapat meskipun mempunyai chemistry yang baik sebagai rakan duet.
“Kami dah kenal lama. Kalau pandang pun, terus ketawa. Takkan jadi lebih daripada itu,” ujarnya sambil tertawa.
Post a Comment