Kahwin Muda Tapi Abaikan Tanggungjawab, Ibu Bapa Tua Menjadi Mangsa

 

KUALA LUMPUR, 24 Mei 2025 – Jodoh dan perkahwinan adalah ketentuan Ilahi, namun berkahwin pada usia muda merupakan satu pilihan yang datang bersama tanggungjawab besar.


Baru-baru ini, tular sebuah kisah di media sosial mengenai pasangan muda yang berkahwin ketika usia remaja tetapi gagal memikul tanggungjawab sebagai suami isteri dan ibu bapa, hingga akhirnya membebankan orang tua mereka.


Seorang wanita berkongsi pengalamannya menyaksikan kisah tersebut secara langsung:

“Umur 15 berhenti sekolah, nak sangat kahwin. Mak ayah pula beri duit belanja. Umur 16 dah minta motor Y15 pula,” tulisnya.


Menurutnya, walaupun telah berkahwin dan diberikan kemudahan asas, pasangan tersebut tidak bekerja dan hanya tinggal bersama ibu bapa masing-masing. Semua keperluan seperti makanan, pakaian, bil utiliti ditanggung oleh ibu bapa yang sudah berusia lanjut.

“Ayah dia terpaksa jadi pemandu Grab siang hari, malam pula kerja pengawal keselamatan, walaupun dah 65 tahun,” katanya.


Pasangan itu yang kini berumur sekitar 35 tahun, akhirnya memohon bantuan zakat selepas ibu bapa mereka meninggal dunia kerana tidak mampu menyara keluarga sendiri.

“Permohonan dibuat sebab tak ada siapa lagi boleh tanggung mereka dan anak-anak,” jelasnya lagi, sambil menambah situasi begini sering berlaku di kawasan pedalaman.


Kisah itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ramai menyuarakan kecewa terhadap sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan anak hingga mereka tidak tahu menunaikan tanggungjawab.

“Kenapa mak ayah tak didik tentang tanggungjawab dari awal?”
“Sebab itu zakat tak bagi kalau muda, sihat tapi malas bekerja.”
“Masa mak ayah hidup, berjalan keliling kampung. Bila meninggal, tanah pun habis dijual.”


Ada juga yang menempelak trend kahwin muda kononnya untuk elak maksiat, tetapi akhirnya tidak mampu bertahan dan bercerai, lalu kembali menyusahkan keluarga.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post