LANGKAWI, 24 Mei 2025 – Sebuah trak milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbabas dalam satu kemalangan yang berlaku di Langkawi, Kedah pada Jumaat, melibatkan 27 petugas demonstrasi sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Menurut kenyataan rasmi Pusat Media Maritim, kejadian berlaku ketika trak berkenaan dalam perjalanan pulang selepas membawa petugas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ehsan.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Seramai 25 petugas menerima rawatan awal di bilik perubatan Segmen Maritim manakala dua lagi dihantar ke Hospital Sultanah Maliha akibat kecederaan di kaki,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan kemalangan tersebut turut membabitkan empat kenderaan awam iaitu sebuah Toyota Avanza, dua Perodua Axia, dan sebuah Perodua Viva.
Komander Hadapan Bilik Gerakan LIMA JBPM, PKB I Ahmad Aminuddin Abd Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang. Mangsa orang awam yang mengalami kecederaan telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut. Punca kemalangan masih dalam siasatan.
Post a Comment