Sebuah video tular di TikTok mencuri perhatian ramai selepas seorang lelaki berkongsi secara terperinci kaedah pembuatan minyak dagu, yang menurut kepercayaan mistik masyarakat Siam, mampu menundukkan hati manusia, melariskan perniagaan dan memberikan perlindungan kepada pemiliknya.
Lelaki tersebut mendakwa ilmu itu diperolehnya daripada seorang pengamal perubatan mistik Thailand, dengan pembuatan minyak melibatkan jenazah wanita mengandung yang meninggal dalam keadaan tragis iaitu dibunuh pada hari Selasa, mengikut kepercayaan.
“Mayat akan digali pada malam hari, dagunya dilayur dengan api lilin sambil membaca mentera dalam keadaan telanjang. Minyak yang keluar sekitar satu sudu besar, kemudian dicampur dengan rambut dan darah si pembuat," katanya dalam video tersebut.
Dia turut menjelaskan bahawa ritual pemujaan perlu dilakukan, termasuk mengetahui nama si mati bagi memastikan keberkesanan minyak tersebut. Pemujaan dikatakan dilakukan sehingga roh si mati muncul di hadapan pembuatnya.
Bagaimanapun, lelaki itu turut memberi peringatan bahawa minyak dagu yang dijual di pasaran kebanyakannya adalah penipuan semata-mata untuk meraih keuntungan, kerana proses sebenar terlalu rumit dan berisiko tinggi.
“Minyak dagu bukan mudah untuk dibuat, dan kebanyakan yang dijual hanyalah tipu helah bomoh untuk ambil duit,” tambahnya.
Video tersebut mengundang pelbagai reaksi dari netizen, dengan ramai menyatakan rasa terkejut dan ngeri terhadap pendedahan itu.
Pihak berkuasa agama sebelum ini sudah beberapa kali menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai atau mengamalkan sebarang bentuk kepercayaan karut dan khurafat, yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Perbuatan sebegini dianggap berdosa besar dan boleh membawa kepada syirik jika tidak dihindari.
Post a Comment