Anak Jadi Mangsa Gangguan Seksual Pemandu Sekolah


 

KUALA LUMPUR, 12 Jun 2025 – Seorang ibu meluahkan kekecewaannya selepas mendakwa anak perempuannya yang masih kecil menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang pemandu van sekolah, namun kes berkenaan dilaporkan diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).


Pendedahan itu dibuat menerusi hantaran oleh penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice, yang berkongsi luahan ibu terbabit serta rakaman audio perbualan antara si ibu dan anaknya, dipercayai berusia sekitar tujuh atau lapan tahun.


Menurut wanita berkenaan, walaupun laporan polis telah dibuat dan anaknya melalui pelbagai prosedur termasuk proses temu bual, keputusan akhirnya tetap mengecewakan.

“Anak perempuan saya kena cium dengan transporter. Saya dah buat laporan polis. Anak saya perlu lalui pelbagai proses, tapi akhirnya kes diberi NFA,” katanya.


Dalam rakaman yang dimuat naik, kanak-kanak tersebut menceritakan bagaimana 'pakcik' berkenaan meminta ciuman di dalam kenderaan semasa tiada murid lain, dan mendakwa lelaki itu turut mencium pipinya.

“Bila nak balik, pakcik tu cakap kena kiss dia. Pakcik kiss saya, tapi saya boleh kiss dia juga,” katanya dalam rakaman berkenaan.


Tambah kanak-kanak itu, perbuatan tersebut dilakukan secara tersembunyi kerana 'pakcik' berkenaan tidak mahu orang lain nampak.


Caprice dalam kenyataannya berkata, pendedahan ini dibuat bukan hanya untuk memberi keadilan kepada kanak-kanak tersebut, tetapi juga untuk mengesan jika terdapat mangsa lain.

“Kami sedang cari mangsa-mangsa lain yang berani tampil ke depan supaya kita boleh bina kes yang lebih kukuh.”


Tambahnya lagi, suspek masih bebas dan dilaporkan masih menjalankan tugas sebagai pemandu van sekolah ketika ini.

“Pelaku masih bawa budak sekolah sampai hari ini. Ini sangat membimbangkan,” katanya.


Isu ini mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, yang rata-ratanya berharap agar pihak berkuasa menyemak semula kes tersebut dan memastikan tindakan sewajarnya diambil demi keselamatan kanak-kanak.


Caprice turut menyeru ibu bapa agar lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak serta berkomunikasi secara terbuka supaya sebarang bentuk gangguan atau eksploitasi dapat dikesan lebih awal.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post