Syed Iqbal Raih Perhatian Peminat Melalui Single Pertama ‘Basstamam’

 

Penyanyi baharu, Syed Iqbal, melakar pencapaian membanggakan apabila single solo pertamanya yang berjudul Basstamam meraih lebih 250,000 tontonan di YouTube dalam tempoh 11 hari selepas dilancarkan.


Syed Iqbal atau nama sebenarnya Syed Muhammad Iqbal Jamalulleil, 24, berkata sambutan luar jangka itu menjadi suntikan semangat buat dirinya untuk terus berkarya dan menyebarkan mesej positif melalui muzik.

“Alhamdulillah bila lagu Basstamam mendapat tempat di hati pendengar, saya rasa ia memberikan impak positif buat karier saya. Tak jangka secepat ini. Dalam masa 11 hari saja, lebih 250,000 tontonan di YouTube dan 80,000 pendengar di platform digital,” katanya kepada mStar.


Berbeza dengan kebanyakan artis baharu, Syed Iqbal menegaskan niatnya dalam dunia seni bukan sekadar untuk menghibur, tetapi juga sebagai platform menyampaikan dakwah secara halus melalui muzik.

“Dalam pada memberi hiburan kepada pendengar, saya ingin menyampaikan dakwah melalui muzik. Kita perlukan muzik sebagai terapi. Memetik kata penyair Jalaluddin Rumi, manusia tanpa muzik hidupnya akan hancur,” jelasnya.


Seiring dengan misinya itu, beliau turut merancang untuk menerbitkan versi penuh dalam bahasa Arab bagi lagu Basstamam dalam masa terdekat.


Basstamam merupakan hasil ciptaan Amir Hufaz dan Wan Saleh, dengan lirik ditulis oleh Abdulkarim Al Ali serta Wan Saleh. Lagu ini memadukan elemen spiritual dan kontemporari, menyuntik kelainan dalam pasaran muzik tempatan.


Lagu tersebut telah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital pada 30 Mei 2025, manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Masyhur, label muzik yang kini menaungi Syed Iqbal.


Dengan pencapaian memberangsangkan pada peringkat awal, Syed Iqbal yakin hala tuju seninya mampu memberi nilai tambah kepada industri hiburan tempatan, khususnya dalam genre muzik dakwah kontemporari.

“Saya percaya muzik adalah alat yang kuat untuk menyentuh hati. Semoga apa yang saya sampaikan dapat memberi kesan positif kepada pendengar,” katanya.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post