TANGKAK, 12 Jun 2025 – Dua wanita maut manakala empat lagi cedera parah apabila kereta dinaiki mereka merempuh sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 168.5 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), petang semalam.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.15 petang itu, kedua-dua mangsa wanita berusia lingkungan 20-an dilaporkan maut di tempat kejadian akibat impak kuat rempuhan.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, hasil siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki enam individu – dua wanita dan empat lelaki – dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju Merlimau.
“Kereta terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan akibat masalah tayar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mangsa yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan lanjut. Setakat ini, identiti kesemua mangsa masih dalam proses pengesahan pihak berkuasa.
Polis kini giat menjalankan siasatan lanjut dan meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi IPD Tangkak atau Pegawai Penyiasat Inspektor Faszrulhad Zukapli di talian 012-2306943,” ujar Roslan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Post a Comment