Guru dan Anak Sulung Maut, Seorang Lagi Anak Cedera Parah

 

MELAKA, 12 Jun 2025 – Seorang guru wanita dan anak sulungnya ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, awal pagi ini. Seorang lagi anak lelaki wanita itu turut cedera parah dalam kejadian yang disyaki kes bunuh.


Menurut sumber, kejadian terbongkar sekitar jam 6 pagi apabila orang awam melihat seorang lelaki terbaring dalam keadaan cedera di atas jalan berhampiran rumah terbabit sebelum menghubungi pihak polis.


Sepasukan anggota dari Balai Polis Batang 3 yang dikejarkan ke lokasi menemui lelaki tersebut yang dipercayai anak bongsu mangsa, dalam keadaan berlumuran darah di luar rumah.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah menemui dua lagi individu iaitu seorang wanita dan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah,” kata sumber polis.


Pasukan perubatan dari Hospital Melaka yang tiba di lokasi mengesahkan kedua-duanya telah meninggal dunia. Wanita berkenaan dipercayai berusia lingkungan 50-an dan bekerja sebagai guru, manakala anak sulungnya berusia sekitar 21 tahun.


Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dengan kehadiran Timbalan Ketua Polis Melaka, SAC Ahmad Jefferi Abdullah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Leow Kian Heong.


Polis belum mengesahkan motif kejadian, namun tidak menolak kemungkinan ia adalah kes bunuhSatu sidang media dijangka diadakan dalam masa terdekat bagi memberi maklumat lanjut kepada orang awam.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post