Anak sulung penyanyi dan pelakon terkenal Raja Ema, iaitu Putera Ammar, kini berdepan ujian kesihatan apabila disahkan menghidap penyakit gastroparesis, sejenis gangguan sistem penghadaman yang menyebabkan pergerakan makanan dalam perut menjadi perlahan.
Menurut Raja Ema, 56, berat badan Ammar menyusut drastik daripada 90kg kepada 50kg akibat penyakit yang dialaminya sejak hampir tiga tahun lalu. Lebih memilukan, anaknya mengambil masa hingga enam jam hanya untuk menghabiskan satu hidangan.
“Hati ibu mana yang tidak sedih. Dia dahulunya kuat makan, sekarang terpaksa berjuang setiap kali nak habiskan makanan,” luahnya.
Selain mengalami gangguan pemakanan, Ammar juga mengalami kebimbangan melampau (anxiety) kerana tekanan fizikal dan emosi akibat penyakit ini.
Ammar kini menjalani rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) dan disarankan untuk menjalani pembedahan pada bahagian perut (antara usus besar dan kecil) bagi memperbaiki pergerakan otot perut.
“Saya masih memujuk dia bersetuju kerana bimbang keadaan kesihatan akan semakin merosot. Doktor maklumkan otot perut masih boleh berfungsi, tapi sangat perlahan,” kata Raja Ema lagi.
Penyanyi itu turut berkongsi bahawa walaupun anaknya bergantung kepada ubat, keadaan kesihatan kini bertambah baik berbanding sebelum ini, hasil penjagaan diet yang ketat dan disiplin.
Fakta Penyakit: Gastroparesis
- Punca: Otot perut lemah atau tidak berfungsi dengan baik.
- Kesan: Makanan lambat dicerna dan tersimpan lama dalam perut.
- Gejala: Rasa kenyang cepat, loya, muntah, kembung, hilang selera makan, dan penurunan berat badan.
- Rawatan: Ubat-ubatan, perubahan diet, dan dalam kes tertentu, pembedahan.
Post a Comment