KOTA BHARU, 16 Jun 2025 – Seorang jurutera awam kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 14 pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM100,000 berkaitan tuntutan bayaran projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Gua Musang.
Tertuduh, Mohd Azly Abdul Aziz, 44, dari Unit Projek Khas Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Ibu Pejabat JKR, didakwa menerima suapan antara RM5,000 hingga RM10,000 daripada seorang kontraktor warga emas secara dalam talian ke akaun peribadinya.
Suapan tersebut didakwa sebagai balasan mengesyorkan perakuan bayaran interim projek LTU Pakej 3 (dari Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang). Kesemua kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah bank di Jalan Maju, Kota Bharu, antara 22 Disember 2022 hingga 31 Oktober 2023.
Mohd Azly didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh diwakili peguam Azeezi Nordin.
Peguam memohon jaminan rendah sebanyak RM8,000 memandangkan anak guamnya kini hanya bekerja sebagai penjual sabun dan pemandu e-hailing, selain perlu menyara isteri dan empat anak.
Hakim Dazuki Ali membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 17 Julai 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Post a Comment