KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 – Dua lelaki maut dalam kejadian tembakan yang berlaku di hadapan lobi sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, kira-kira jam 12.15 tengah malam tadi.
Difahamkan, kedua-dua mangsa yang dipercayai berasal dari Sibu, Sarawak, ditembak oleh sekumpulan lelaki bersenjata ketika sedang menuju ke kenderaan mereka yang diletakkan di kawasan perkarangan pusat beli-belah tersebut.
Menurut saksi kejadian, beberapa lelaki yang memakai topi keledar tiba-tiba berlari ke arah mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke bahagian badan dan kepala mereka. Kedua- dua mangsa rebah dan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Alza selepas melepaskan tembakan,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Tinjauan wartawan mendapati mayat kedua-dua mangsa terbaring dalam jarak kira-kira lima meter dari kenderaan mereka dengan kesan darah di sekeliling kawasan kejadian.
Sejurus insiden, sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hadir ke lokasi bagi menjalankan siasatan, dibantu Unit Forensik Polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat bagi mengesahkan identiti mangsa dan perkembangan terkini siasatan.
Setakat ini, polis sedang giat mengumpul maklumat daripada saksi kejadian serta meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan bagi mengenal pasti suspek dan motif pembunuhan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Polis turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ini dan menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
Post a Comment