Bayi 10 Bulan Maut Terjatuh Ketika Dimandikan Pengasuh

 

SUNGAI BULOH, 17 Jun 2025 – Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan maut selepas dipercayai terjatuh ketika sedang dimandikan oleh pengasuhnya di sebuah rumah di Puncak Alam, semalam.


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 10.42 malam daripada pegawai perubatan di Hospital UiTM Puncak Alam.


Menurut beliau, bayi berkenaan telah dibawa ke zon merah Jabatan Kecemasan hospital tersebut pada jam 7.23 malam dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dirujuk dari sebuah klinik swasta berdekatan.

“Pengadu bersama doktor pakar kecemasan telah memberikan rawatan termasuk bantuan pernafasan dan ubat-ubatan selama kira-kira 22 minit, namun bayi itu tidak menunjukkan sebarang tanda bernafas dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Siasatan awal mendapati ibu kepada bayi berkenaan menerima panggilan daripada pengasuh pada jam 5.40 petang yang memaklumkan anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri.

“Menurut pengasuh, kejadian berlaku semasa dia mahu memandikan bayi itu, namun bayi tersebut terjatuh mengiring sebelah kanan dan kelihatan sesak nafas sebelum dibawa ke klinik,” jelas beliau lagi.


Mayat bayi berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital UiTM Puncak Alam untuk bedah siasat, dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (Sudden Death Report - SDR) sementara menunggu hasil laporan forensik.


Polis turut mengesahkan bahawa keterangan daripada pengasuh terbabit telah pun diambil bagi membantu siasatan lanjut.

“Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” tegas Superintendan Mohd Hafiz.


Beliau turut menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 2222 atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post