KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 – Seorang wanita berusia 55 tahun maut manakala anak lelakinya cedera ringan selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh pintu sebuah kereta yang dibuka secara tiba-tiba di bahu jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Batu 5, Jalan Ipoh, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 12.20 tengah hari, mangsa dan anaknya dalam perjalanan dari arah Jalan Ipoh menuju ke Bulatan Kepong sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu pada jam 1.45 petang.
“Siasatan awal mendapati pemandu sebuah kereta jenis Toyota Vios, seorang lelaki berusia 35 tahun yang parkir di bahu kiri jalan, telah membuka pintu kenderaan secara tiba-tiba,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, penunggang motosikal berusia 20 tahun tidak sempat mengelak dan melanggar pintu kereta berkenaan, menyebabkan mereka tercampak dari motosikal.
“Penunggang motosikal tercampak ke atas jalan, manakala ibu mangsa terjatuh ke bawah sebuah lori yang sedang bergerak di lorong kanan jalan,” jelas beliau.
Kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut. Namun, wanita tersebut disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala anak lelakinya hanya mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan.
Pemandu lori berusia 30 tahun yang turut terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang melibatkan kesalahan memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Post a Comment