Rumah tangga pelakon popular, Fikry Ibrahim, 31, dan isterinya, Siti Khalizah Alihan, 37, dilaporkan berdepan kemelut apabila Khalizah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada bulan Mei lalu.
Difahamkan, permohonan cerai difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, atas alasan tiada lagi persefahaman dalam rumah tangga mereka, walaupun baru empat bulan bergelar suami isteri.
Menurut laporan, Khalizah hadir ke mahkamah sekitar jam 9.40 pagi pada Khamis, ditemani peguamnya. Namun, kelibat Fikry tidak kelihatan pada sebutan pertama kes tersebut. Mahkamah menetapkan 10 September depan sebagai tarikh sebutan kedua.
Kisah pergolakan rumah tangga pasangan itu mendapat perhatian netizen selepas berita penceraian tersebar di media sosial. Ramai yang terkejut memandangkan pasangan ini baru sahaja memuat naik foto romantis sekitar empat hari lalu.
Tindakan mereka yang tidak lagi saling mengikuti di Instagram, meskipun masih menyimpan beberapa gambar bersama, turut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.
Ada juga yang mengimbas kembali raut wajah Fikry ketika hari pernikahan yang didakwa kelihatan ‘tidak gembira’, sehingga menimbulkan spekulasi dia tidak bersedia atau dipaksa berkahwin.
“Baru sahaja kahwin, takkan dah nak bercerai? Cuba berbincang dulu.”“Fikry baru post gambar sweet, tak sangka tiba-tiba isteri fail cerai,” tulis beberapa pengguna media sosial.
Terdahulu, Fikry pernah menyangkal dakwaan bahawa dia dipaksa berkahwin dengan Khalizah. Menurutnya, raut wajahnya yang kelihatan murung ketika bernikah adalah kerana sedang memikirkan tanggungjawab berat sebagai suami, terutama dengan keadaan ibunya yang semakin uzur di kampung.
“Saya bukan tidak rela, cuma saya sedar selepas ini tanggungjawab bertambah. Saya masih perlu urus ibu di kampung,” ujarnya dalam kenyataan terdahulu.
Untuk rekod, pasangan ini melangsungkan pernikahan dalam sebuah majlis tertutup pada 12 Februari 2025, yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.
Post a Comment